26 September 2011

Program Mutthaq dan Malam Kesenian Islam



Program Mutthaq dan Malam Kesenian Islam..

Sahabat dan sahabiah yang cintakan kesenian Islam dijemput hadir..


Program akan diadakan di Dewan Al-Farabi,


Antara aktiviti yang dijalankan ialah:
Qasidah
Nasyid (Ikhwan dan Harmoni)
Dikir Barat
Tilawah Al-Quran
Tafsir
Hafazan
Sketsa/pentomin/yg seumpamanya


Juga disediakan tempat untuk meng'copypaste'kan lagu2, video, cerita, dan software islamik, Kepada yang berminat boleh bawa pendrive..


Penampilan Istimewa Kumpulan Soutul Amal...

21 June 2011

Peristiwa Isra' dan Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab


 
1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

I. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

II. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

III. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

IV. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

V. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

VI. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

VII. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

IIX. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

IX. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

X. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.



(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..

SUMBER PAUTAN:

http://fullfilth.blogspot.com

08 April 2011

Syahadah Dan Tuntutannya

Apabila seseorang telah bersyahadah maka dia dianggap Islam, tetapi Islamnya tidak sempurna melainkan dengan melaksanakan tuntutan Tauhid atau syahadah itu sendiri. Ia meliputi seluruh tuntutan Allah dan RasulNya yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Secara ringkas tuntutannya seperti berikut:

1. Beriman dengan perkara Ghaib. Perkara ghaib yang dimaksudkan ialah beriman dengan 6 Rukun Iman iaitu Beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat dan Qadha’ Qadar.

2. Menunaikan Rukun Islam. Diwajibkan menunaikan ibadah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah. Seseorang yang tidak menunaikan solat, berpuasa, berzakat dan haji bagi yang mampu, tidak boleh dianggap sebagai Muslim kerana Islam tidak memadai dengan hanya mengucap.

3. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar. Sesiapa yang tidak mencegah sesuatu kemungkaran sedangkan dia berkuasa, maka dia bukanlah orang mu’min, lebih lagi orang yang menyokong dan meredhai kemungkaran yang berlaku di hadapan mata, mereka ini digelar Syaitan Bisu oleh Rasulullah. Orang yang bencikan kemungkaran tanpa mencegah adalah orang yang lemah Imannya.

4. Menghukum dengan hukum Allah dan mendirikan kerajaan Islam. Allah memerintahkan kepada umat Islam supaya berhukum dengan hukum Allah. Mereka yang enggan menghukum dengan hukum Allah bererti menolak Tauhid Uluhiyah iaitu perhambaan kepadaNya dan mereka menolak pengakuan mereka terhadap syahadah yang diikrarkan. Tuntukan melaksanakan hukum Allah tidak dapat dilaksanakan tanpa kerajaan Islam.

5. Mewujudkan masyarakat Islam. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang melaksanakan semua tuntutan dalam Aqidah, Syariat (Peraturan), Ibadah dan Akhlak. Masyarakat Islam tidak lahir kecuali lahirnya sekumpulan manusia yang menyembah Allah SWT dengan sempurna dan tidak menyembah yang lainnya serta tidak mematuhi undang-undang selain daripada undang-undang Allah. Kemudian cara hidupnya berlandaskan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis dan tidak mengikuti peraturan-peraturan ciptaan manusia.

Serahlah aqidah dan diri kamu kepada Allah. Sama ada penyerahan itu dilakukan atau tidak, kamu tetap akan datang berserah kepadaNya pada hari kiamat nanti.

Dipetik dari risalah Al Risaalah terbitan Balai Islam Al Muttaqin

04 April 2011

Keluaran Sulung risalah 'Al-Risaalah'


Edisi sulung risalah yang diberi nama "Al-Risaalah' diterbitkan oleh Lajnah Penerbitan dan Multimedia Balai Islam Al Muttaqin. Dalam edisi pertama ini ditekankan hal berkenaan dengan syahadah dan tuntutannya yang menjadi asas Aqidah kita. Boleh dapatkannya di Balai Islam Al Muttaqin bagi yang berminat dan diharapkan agar sahabat-sahabat dapat menyebarkan mesej yang disampaikan dalam apa jua bentuk sekalipun..

Beramal Kerana Allah.

Kepentingan Aqidah Terhadap Perjuangan

Muqaddimah

Aqidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang Islam agar perjuangan yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari betapa pentingnya kekuatan aqidah ini kepada jatuh bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan musuh Islam dari dulu hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran. Kesinambungan daripada itulah maka kita sebagai orang yang mengaku berjuang Islam mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan aqidah ini daripada sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi mencapai kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.

3 Unsur Utama Aqidah

1. Tidak mencari Tuhan selain Allah S.W.T
2. Tidak mengambil pemimpin atau pelindung selain daripada Allah
3. Tidak mencari hakim selain Allah


Kepentingan Aqidah Terhadap Perjuangan Islam

1. Supaya jelas matlamat perjuangan

Pejuang Islam mesti tahu bahawa perjuangan yang sedang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah S.W.T di mana setiap gerak kerja yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya


2. Supaya perjuangan benar-benar ikhlas kerana Allah S.W.T

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari bahasanya seorang arab badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya:

يارسول الله! الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ؟ وفى رواية يُقَاتِلُ شَجَاعَةً و يُقَاتِلُ حَمِيَّةً , وفي رواية : يُقَاتِلُ غَضَبًا فَمَنْ فى سبيل الله؟ فقال رسول الله : مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةُ الله هِىَ العُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيْلِ الله

Maksudnya : Ya Rasulullah! Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan suapaya disebut-sebut namanya dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya”. Dan dalam riwayat lain “ Ada seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberaniannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk membalas dendam keluarganya. Dan riwayat yang lain pula disebutkan “ Ada seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya maka yang mana di antara semua ini yang dianggap orang yang berperang fisabilillah?.” Rasulullah s.a.w menjawab :” Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah S.W.T (Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah

2 kisah dalam peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara ini lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.

Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah s.a.w diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka


3. Supaya dapat merasai kemanisan iman dalam perjuangan

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:

قَالَ الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ

Maksudnya : Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka


4. Supaya tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar


5. Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:
…. وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ

Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya


6. Supaya amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan

قَالَ الرَّسُوْلُ : لا دين لمن لاأمانة له

قَالَ الرَّسُوْلُ : يا أبا ذر إنك ضعيف وأنها أمانة وأنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من آخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها – رواه مسلم

Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya


7. Supaya tidak mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh Islam

فرمان الله تعالى دالم أية 19 سورة التوبة :

أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن ءامن بالله واليوم الآخر وجــهد فى سبيل الله لايستون عند الله والله لايهدى القوم الظــلمين

Maksudnya : Adakah mereka yang memberi minuman kepada jemaah haji dan menguruskan Masjidil Haram kamu samakan kedudukan mereka dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah?. Mereka tidak sama kedudukannya di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim


8. Supaya dapat lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan Islam


9. Supaya tahan dalam menerima ujian dan cabaran


Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut :

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لايفتنون . ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين .

Maksudnya : Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan: “ Kami telah beriman “, sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.


10. Supaya sentiasa muhasabah diri dalam perjuangan


Firman Allah S.W.T dalam ayat 104 surah an-Nisa’ :

ولا تهنوا في ابتغاء القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون

Maksudnya : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan


11. Sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T


12. Supaya tidak mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, dosa dan pahala, ibadat dan maksiat dalam perjuangan

120 سورة االأنعام :

وذروا ظــهر الإثم وباطنه إن الذين يكسبون الإثم سيجزون بما كانوا يفترون

Maksudnya : Dan tinggallah dosa yang nampak dan tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi balasan disebabkan apa yang mereka telah kerjakan

Pesan Sayyidina Umar al-Khattab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.


Penutup

Menyedari tentang betapa pentingnya aqidah yang jelas dalam meninggikan kalimah Allah S.W.T di muka bumi ini maka kita wajib memperteguh serta menyuburkannya dalam diri ke arah mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat

24 January 2011

Masa Itu Senjata

PENCERAMAH  : USTAZ HAFIZU ADHA @ BAHA
TARIKH                : 07 SAFAR 1432 H BERSAMAAN 12 JANUARI 2011
MASA                   : 08.00 MALAM

INTISARI KULIYAH MAGHRIB:

                Analogi plastik berubah menjadi selipar. Bagaimana kita boleh mengatakan bahawa dunia ini terjadi secara semulajadi? Sedangkan,di sebalik keindahan alam yang terbentang luas ini,adanya Sang Pencipta,iaitu Allah swt.

                Falsafah ialah sesuatu yang di tafsirkan oleh insan yang berbeza-beza. Jadi,falsafah tidak boleh dijadikan hujah.

                Saidina Ali KWH berkata,”masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotong,nescaya ia akan memotong kita.” Kenapa mesti diandaikan bahawa masa itu tidak seperti daun-daunan,atau emas,atau sesuatu yang lain? Kenapa Saidina Ali KWH yang seperti kita sedia maklum,seorang yang tinggi ilmunya,mengatakan bahawa masa itu ibarat pedang?

                Sesungguhnya pedang itu ialah senjata. Dan senjata itu ialah:MASA! Jadi,apabila seseorang itu,betul-betul menghargai masanya,percayalah,bahawa dia sedang memegang pedang. Apabila sesebuah negara itu mementingkan masa,iaitu seluruh penduduknya menghargai masa,negara itu akan dipandang tinggi. Lihat sahaja,contohnya negara Iran yang sehingga kini,tidak berani di’sentuh’ oleh Amerika Syarikat. Kerana mereka mempunyai ‘senjata’ yang sebenar untuk menghasilkan senjata-senjata yang zahir!

                Di sebut juga tentang 10 muassofat tarbiyyah iaitu Salimul ‘Aqidah(aqidah yang  sejahtera),Sahihul Ibadah(ibadah yang benar/sahih),Matinul Khuluq(akhlak yang mantap),Qaadirun alal Kasbi(mampu berdikari),Mutsaqqoful Fikri(luas pengetahuan),Qawiyyul Jismi(sihat tubuh badan),Mujahidun Linafsih(melawan nafsu),Munazhzom Fi Syu’unih(tersusun urusannya),Harishun alal  waqtihi(sangat menjaga masa),dan Nafi’un Lighoirih(bermanfaat kepada yang lain).

                Dalam 114 surah dalam al Quran ada satu surah yang tekankan tentang kepentingan masa iaitu surah al Asr. Betapa Allah menuntut umat Islam supaya menjaga masa sentiasa.

                Ustaz Baha juga telah bercerita tentang satu kisah mengenai Marwa el-Sherbini,seorang wanita Arab yang tinggal di German yang telah syahid akibat di tikam 18 kali oleh seorang warga Rusia yang tinggal di German juga,iaitu Alez Wiens. Kejadian itu telah menggemparkan seluruh negara.(untuk mengetahui lebih lanjut,cari di internet yea)

                Sebagai khulasohnya,Ustaz Baha sekali lagi menekankan tentang kepentingan bagi umat Islam dalam menjaga masa. Dengan pengurusan masa yang berkesan dan strategik,tidak mustahil umat Islam akan kembali gemilang seperti dahulu! Takbir!!!

                Wallahu’alam.

7 Niat Menuntut Ilmu

7 NIAT SEBELUM MEMULAKAN PELAJARAN/AKTIVITI MENIMBA ILMU


1) berniat untuk mendengar

2) berniat mendengar kerana ingin tahu

3) berniat ingin faham apa yang disampaikan

4) berniat ingin beramal dengan ilmu yang difahami, InsyaAllah

5) berniat untuk istiqamah dalam pelaksanaan amalan

6) berniat ingin mengikhlaskan diri dalam melaksanakan amalan itu

7) berniat supaya Allah menerima usaha-usaha kita dalam proses menimba ilmu

20 January 2011

Sejarah Kelahiran Aliran Aqidah

Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang



Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama dalam kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka.

Generasi pertama di kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar (mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah.Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 7, Dia lah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi’in.

Mereka itu terdiri daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat dengan mendalami ilmu agama dalam berbagai-bagai bidang, seperti akidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada vang sibuk dengan perkara-perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangai musuh-musuhnya. Ada yang sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), sorof, balaghah, sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting bagi mempelajari agama dengan bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraish kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti melafazkan bai‘ah iaitu ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulnya. Lafaz ikrar setia ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah ar-Rasyidin adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al- Hasyr, ayat 10,
Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Ampuni kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasad dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan maha penyayang.

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya, para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para tabi’in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-meleret.

Kesemua imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hanbal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Sejarah Kemunculan Mazhab Al-Asyairah

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam Abu Hasan al-Asy’ari.


Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy” ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Antara teori Abu Hasan al Asy'ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:

1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baru
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak
9. Mengetahui
lO.Hidup
11. Mendengar
12.Melihat
13.Berkata-kata

Beliau juga menghuraikan perkara taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukun-rukun iman. Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain.

Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah al-Asfaraini, al -Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang. Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’ irah.

Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakilani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak al-Asfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi. Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Diniati. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku AJ-Luma ‘ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bid ‘i beliau mendedahkan hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah.Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan al-Quran sebagai kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan perkara yang berhubung dengan Qadak dan Qadar dan lain-lain dan menjadi golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang sebenar.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
20 Oktober 2006

07 January 2011

Pengenalan Asas Ilmu Fiqh Islami

Oleh :

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam Rasul junjungan dan ahli keluarganya dan para sahabatnya.

PERKARA ASAS TENTANG FIQH

1) Ta'rif Ilmu Fiqh : Mengetahui praktikal hukum syar'ie bersumber daripada dalil-dalil yang terperinci. Merupakan ilmu perundangan Islam yang syumul.

2) Pecahan dan Kesyumulan Fiqh : Memastikan kehidupan individu, masyarakat dan umat Islam selari dengan hukum-hakam syar’ie di bidang berikut : -

a) Hubungan dengan Allah SWT ; iaitu melalui Fiqh Ibadat.
b) Hubungan manusia dengan dirinya sendiri ; iaitu melalui kefahaman halal, haram & adab-adab peribadi.
c) Hubungan manusia dengan ahli keluarga ; melalui Fiqh al-Usrah.
d) Hubungan manusia sesama manusia lain ; melalui Fiqh Mu’amalat Maliah, Fiqh Jinayah ( hudud, qisos, ta’zir), Fiqh Siyasah Syar’iyyah (politik), Fiqh al-Jihad.

Kesimpulan : Islam melingkupi seluruh aspek kehidupan dan tidak terhad kepada hukum hakam persendirian dan keluarga sahaja.

3) Fleksibliti Hukum Fiqh : Hukum dari sudut boleh berlaku fleksibiliti ke atasnya atau tidak, terbahagi kepada dua iaitu :-

a) ‘At-Thawabit’ : iaitu hukum yang tidak boleh berubah sama sekali walaupun zaman dan masa berubah : Ia melibatkan perkara berikut :-

· Asas-asas aqidah ; seperti : kewujudan Allah, kesempurnaan Allah dan yang seumpamanya.
· Asas-asas kebaikan dan asas akhlak yang diterima oleh fitrah yang suci. Ia seperti : Adil, amanah, baik kepada ibu bapa, bersikap benar, mempertahankan nyawa, amar ma’ruf nahi mungkar, menyebarkan ilmu, mengekalkan syiar Allah di atas muka bumi, mentarbiyah pemuda dan pemudi, menyertai jemaah Islam dan lain-lain.
· Seluruh asas-asas keburukan ; seperti zalim, derhaka ibu bapa, curi dll.
· Hukum yang berasal dari nas yang membawa maksud kekal hingga qiamat , seperti sadba Nabi SAW :

 الجهاد ماض إلى يوم القيامة
Ertinya : “Jihad berterusan hingga ke hari qiyamat”
· Hukum-hakam asas yang qat’ie (iaitu dari sudut ia suatu kewajiban) adapun pelaksanaannya terdapat hal yang boleh berubah menurut peruntukan ‘rukhsoh’ : seperti kefardhuan solat, zakat, haji, puasa .

b) ‘Al-Mutaghayyirat’ ; Hukum yang dibina atas dalil-dalil yang tidak ‘qat’ie thubut’ atau ‘zanniyyatu at-thubut’ dan ‘zanniyyatu ad-dalalah’ dan juga beberapa hal pelaksanaan terhadap perkara ‘thawabit’ seperti : Kewajiban menutup aurat, adalah thawabit demikian juga had yang perlu ditutup, maka kaedah pelaksanaannya terpulang kepada muslim, samada ingin memakai warna biru, hitam, hijau dan lain-lain. Demikian juga hal pentadbiran politik yang berubah mengikut keperluan tetapi MESTILAH BERLEGAR DIDALAM LINGKUNGAN ‘THAWABIT’ sahaja serta tidak menyimpang darinya.

4) Sifat Umum Hukum Islam :

a. Bertepatan dengan fitrah yang sohih, dan tidak bertentangan dengan aqal yang sempurna. Dalil – Rujuk Firman Allah : Ar-Rum : 30

Perkara ini ditegaskan juga oleh As-Syeikh Abd Rahman Nasir As-Sa’di dengan katanya “ Sesungguhnya syarak tidak akan datang dalam bentuk yang bertentangan dengan aqal, juga tidak akan bertentangan dengan ilmu yang benar”, Perkara ini juga pernah diketengahkan oleh Imam Ibn Taymiah dalam kitabnya ‘Dar’u at-Ta’arud bayna an-Naql wal ‘aql’ (Menolak pertentangan di antara nusus dan aqal), demikian juga disebut oleh Ibn Qoyyim : “ Tiada satu nas shohih pun kecuali ianya bertepatan dengan aqal”

b. Dibina di atas dasar ‘Taysir wa raf’u al-Jarh’ ; iaitu memberi kemudahan buat manusia dan mengangkat kesukaran dari mereka” ; Dalilnya dari firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 185 , Al-Maidah : 6 , An-Nisa’ : 43 , Al-Baqarah : 183 , Al-‘A’raf : 157.

c. Menegak keadilan ; Dalil , firman Allah : Al-An’am : 115 dan banyak lagi.

d. Memelihara kepentingan ummah dan kesejahteraan ummat dan mengelakkan mafsadah dari berlaku ke atsa mereka. Dalil - Firman Allah : Al-Qasas : 77

e. Kekal ; Ia adalah syari’at terakhir dan bersifat pembatal kepada syari’at sebelumnya. Dalil : firman Allah : ahzab ; 40.

f. Tadarruj dalam penurunannya. Bagaimanapun wajib dilaksana segera ketika mampu, Dalilnya dari firman Allah : Al-Imran : 133 ; Al-Maidah : 48 , An-Nisa’ : 65 ; dan hadith Nabi SAW, ertinya : “Apabila aku perintahkan dengan sesuatu perintah, maka perbuatlah kamu seaya upayamu, jika ku larang sesuatu pekara jauhilah ia”

Adapun sikap ulama kontemporari terhadap Isu ‘Tadarruj’ dalam pelaksanaan hukum Islam, secara umumnya mereka terbahagi kepada dua kumpulan :-

· Tidak bersetuju dan wajib melaksanakannya segera : ia adalah pandangan As-Syahid Syed Qutb, As-Syahid Abd Qadir Awdah, Dr. Said Ramadhan Al-Buti.
· Bersetuju dengan Tadarruj berperancangan ketika tiada kemampuan : mereka adalah Abul A’la al-Mawdudi, Dr Yusof Al-Qaradhawi & Dr Muhd Abd Ghaffar Syarif.
Bagaimanapun kumpulan ini meletakkan beberapa syarat iaitu :
- Yakin tentang kewajiban melaksanakan syari’at Islam secara sempurna , dan wajib menyediakan suasana yang sesuai bagi melaksanakan tuntutan tersebut.
- Bukanlah bermaksud tadarruj, menjatuhkan hukuman kepada si lemah, dan meninggalkan si kaya dan yang berpangkat.
- Prinsip Aqidah tidak termasuk dalam bab tadarruj ini.
- Prinsip-prinsip asas Islam tidak termasuk dalam harus tadarruj, seperti solat, puasa, tidak boleh berzina, tidak boleh minum arak, berjudi dan seumpama dengannya.

5) Sifat Khusus Islam & Hukum-hakamnya.

a- Rabbani : Bersifat ketuhanan dari sudut : Sumber dan Manhaj.
b- ‘Alami : Menyeluruh buat seluruh manusia di seluruh tempat.
c- Syumuli : Merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Surah Anbiya: 89
d- Waq’ie : Sesuai di setiap keadaan, tempat dan masa.
e- Thawabit wal murunuh : Thabit dalam hal prinsip dan fleksible dalam hal pelaksanaan.

6) Sebab Ikhtilaf Fuqaha’ dalam hukum-hakam yang bersifat Dzonniah.

Secara umum, perbezaan pandangan merujuk kepada hal berikut :

Perbezaan dalam menentukan sesebuah dalil sesuai di jadikan dalil untuk sesuatu hukum @ tidak.
Perbezaan dalam menentukan kekuatan ‘thubut’ dalil.
Perbezaan dalam menentukan darjat kekuatan perawi hadith.
Perbezaan memahami erti dan madlul dari al-Quran dan Al-Hadith.
Perbezaan dalam membuat penilaian, penelitian dalil dan ‘tarjih’.
Perbezaan pemikiran akibat suasana dan persekitaran.

Pertama : Sebab Ikhtilaf Dalam Hal Yang Terdapat Nas

1) Dalam memahami ayat-ayat Al-Quran
· Ayat Quran kebanyakkan datang dalam bentuk Mujmal. Perlukan tafsiran dari Sunnah. Cth : Solat, potong tangan pencuri dsbg. Tugas Rasul SAW dalam hal ini (An-Nahl:64 ; An-Nahl : 44 ; Al-Imran: 164)
· Hadith datang dalam dua bentuk : Perbuatan, Pertuturan. Ikhtilaf dalam menerima pakai sunnah perbuatan. Jumhur terima.
· Ikhtilaf dalam hal Sunnah Perbuatan Nabi SAW. (Fe’liyyah) Sebab :-

i. Ilmu tentang ‘thubut’ sesebuah hadith :-
- Hadith diluar pengetahuan sesetengah Fuqaha’.
- Perbezaan dalam mempercayai perawi hadith.
ii. Berkenaan kandungan Hadith.
- Perbezaan memahami madlul dan kehendak hadith.

2) Ikhtilaf dalam hal Sunnah Pertuturan Nabi SAW ( Qawliyyah)
Sebab-sebabnya :-
· Ikhtilaf dalam lafaz ‘musytarak’ : Perkataan yang boleh membawa pelbagai maksud.
· Ikhitlaf dalam memahami lafaz umum dan khusus Hadith.
· Ikhtilaf dalam memahami madlul hadith dari sudut makna haqiqi atau majazi.
· Ikhtilaf dalam men’taqyid’ mutlaq atau dibiarkan mutlaq sahaja.
· Ikhtilaf dalam memahami lafaz ‘perintah’ dan ‘larangan’ dalam hadith.

Kedua : Ikhtilaf Dalam Hal Yang Tiada Nas Khusus.

· Ruang ikhtilaf lebih besar.
· Perbezaan dalam menentukan Qawaid ‘Ammah dan Ruh Tasyri’ (Maqasid Syariah) untuk dijadikan asas ijtihad.
· Perbezaan dalam menentukan dakwaan terdapat ijma’ dalam sesuatu isu.
· Perbezaan dalam menerima sumber-sumber dalil selain Quran & Hadith, iaitu :-

i. Qias
ii. Istihsan
iii. Maslahat mursalat
iv. Ilham, Mimpi dan Firasat