04 April 2011

Kepentingan Aqidah Terhadap Perjuangan

Muqaddimah

Aqidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang Islam agar perjuangan yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari betapa pentingnya kekuatan aqidah ini kepada jatuh bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan musuh Islam dari dulu hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran. Kesinambungan daripada itulah maka kita sebagai orang yang mengaku berjuang Islam mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan aqidah ini daripada sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi mencapai kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.

3 Unsur Utama Aqidah

1. Tidak mencari Tuhan selain Allah S.W.T
2. Tidak mengambil pemimpin atau pelindung selain daripada Allah
3. Tidak mencari hakim selain Allah


Kepentingan Aqidah Terhadap Perjuangan Islam

1. Supaya jelas matlamat perjuangan

Pejuang Islam mesti tahu bahawa perjuangan yang sedang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah S.W.T di mana setiap gerak kerja yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya


2. Supaya perjuangan benar-benar ikhlas kerana Allah S.W.T

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy’ari bahasanya seorang arab badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya:

يارسول الله! الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ؟ وفى رواية يُقَاتِلُ شَجَاعَةً و يُقَاتِلُ حَمِيَّةً , وفي رواية : يُقَاتِلُ غَضَبًا فَمَنْ فى سبيل الله؟ فقال رسول الله : مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةُ الله هِىَ العُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيْلِ الله

Maksudnya : Ya Rasulullah! Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan suapaya disebut-sebut namanya dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya”. Dan dalam riwayat lain “ Ada seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberaniannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk membalas dendam keluarganya. Dan riwayat yang lain pula disebutkan “ Ada seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya maka yang mana di antara semua ini yang dianggap orang yang berperang fisabilillah?.” Rasulullah s.a.w menjawab :” Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah S.W.T (Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah

2 kisah dalam peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara ini lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.

Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah s.a.w diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka


3. Supaya dapat merasai kemanisan iman dalam perjuangan

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:

قَالَ الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ

Maksudnya : Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka


4. Supaya tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar


5. Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan dunia

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:
…. وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ

Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya


6. Supaya amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan

قَالَ الرَّسُوْلُ : لا دين لمن لاأمانة له

قَالَ الرَّسُوْلُ : يا أبا ذر إنك ضعيف وأنها أمانة وأنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من آخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها – رواه مسلم

Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya


7. Supaya tidak mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh Islam

فرمان الله تعالى دالم أية 19 سورة التوبة :

أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن ءامن بالله واليوم الآخر وجــهد فى سبيل الله لايستون عند الله والله لايهدى القوم الظــلمين

Maksudnya : Adakah mereka yang memberi minuman kepada jemaah haji dan menguruskan Masjidil Haram kamu samakan kedudukan mereka dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah?. Mereka tidak sama kedudukannya di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim


8. Supaya dapat lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan Islam


9. Supaya tahan dalam menerima ujian dan cabaran


Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut :

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لايفتنون . ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين .

Maksudnya : Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan: “ Kami telah beriman “, sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.


10. Supaya sentiasa muhasabah diri dalam perjuangan


Firman Allah S.W.T dalam ayat 104 surah an-Nisa’ :

ولا تهنوا في ابتغاء القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون

Maksudnya : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan


11. Sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T


12. Supaya tidak mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, dosa dan pahala, ibadat dan maksiat dalam perjuangan

120 سورة االأنعام :

وذروا ظــهر الإثم وباطنه إن الذين يكسبون الإثم سيجزون بما كانوا يفترون

Maksudnya : Dan tinggallah dosa yang nampak dan tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi balasan disebabkan apa yang mereka telah kerjakan

Pesan Sayyidina Umar al-Khattab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.


Penutup

Menyedari tentang betapa pentingnya aqidah yang jelas dalam meninggikan kalimah Allah S.W.T di muka bumi ini maka kita wajib memperteguh serta menyuburkannya dalam diri ke arah mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat

24 January 2011

Masa Itu Senjata

PENCERAMAH  : USTAZ HAFIZU ADHA @ BAHA
TARIKH                : 07 SAFAR 1432 H BERSAMAAN 12 JANUARI 2011
MASA                   : 08.00 MALAM

INTISARI KULIYAH MAGHRIB:

                Analogi plastik berubah menjadi selipar. Bagaimana kita boleh mengatakan bahawa dunia ini terjadi secara semulajadi? Sedangkan,di sebalik keindahan alam yang terbentang luas ini,adanya Sang Pencipta,iaitu Allah swt.

                Falsafah ialah sesuatu yang di tafsirkan oleh insan yang berbeza-beza. Jadi,falsafah tidak boleh dijadikan hujah.

                Saidina Ali KWH berkata,”masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotong,nescaya ia akan memotong kita.” Kenapa mesti diandaikan bahawa masa itu tidak seperti daun-daunan,atau emas,atau sesuatu yang lain? Kenapa Saidina Ali KWH yang seperti kita sedia maklum,seorang yang tinggi ilmunya,mengatakan bahawa masa itu ibarat pedang?

                Sesungguhnya pedang itu ialah senjata. Dan senjata itu ialah:MASA! Jadi,apabila seseorang itu,betul-betul menghargai masanya,percayalah,bahawa dia sedang memegang pedang. Apabila sesebuah negara itu mementingkan masa,iaitu seluruh penduduknya menghargai masa,negara itu akan dipandang tinggi. Lihat sahaja,contohnya negara Iran yang sehingga kini,tidak berani di’sentuh’ oleh Amerika Syarikat. Kerana mereka mempunyai ‘senjata’ yang sebenar untuk menghasilkan senjata-senjata yang zahir!

                Di sebut juga tentang 10 muassofat tarbiyyah iaitu Salimul ‘Aqidah(aqidah yang  sejahtera),Sahihul Ibadah(ibadah yang benar/sahih),Matinul Khuluq(akhlak yang mantap),Qaadirun alal Kasbi(mampu berdikari),Mutsaqqoful Fikri(luas pengetahuan),Qawiyyul Jismi(sihat tubuh badan),Mujahidun Linafsih(melawan nafsu),Munazhzom Fi Syu’unih(tersusun urusannya),Harishun alal  waqtihi(sangat menjaga masa),dan Nafi’un Lighoirih(bermanfaat kepada yang lain).

                Dalam 114 surah dalam al Quran ada satu surah yang tekankan tentang kepentingan masa iaitu surah al Asr. Betapa Allah menuntut umat Islam supaya menjaga masa sentiasa.

                Ustaz Baha juga telah bercerita tentang satu kisah mengenai Marwa el-Sherbini,seorang wanita Arab yang tinggal di German yang telah syahid akibat di tikam 18 kali oleh seorang warga Rusia yang tinggal di German juga,iaitu Alez Wiens. Kejadian itu telah menggemparkan seluruh negara.(untuk mengetahui lebih lanjut,cari di internet yea)

                Sebagai khulasohnya,Ustaz Baha sekali lagi menekankan tentang kepentingan bagi umat Islam dalam menjaga masa. Dengan pengurusan masa yang berkesan dan strategik,tidak mustahil umat Islam akan kembali gemilang seperti dahulu! Takbir!!!

                Wallahu’alam.

7 Niat Menuntut Ilmu

7 NIAT SEBELUM MEMULAKAN PELAJARAN/AKTIVITI MENIMBA ILMU


1) berniat untuk mendengar

2) berniat mendengar kerana ingin tahu

3) berniat ingin faham apa yang disampaikan

4) berniat ingin beramal dengan ilmu yang difahami, InsyaAllah

5) berniat untuk istiqamah dalam pelaksanaan amalan

6) berniat ingin mengikhlaskan diri dalam melaksanakan amalan itu

7) berniat supaya Allah menerima usaha-usaha kita dalam proses menimba ilmu

20 January 2011

Sejarah Kelahiran Aliran Aqidah

Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang



Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama dalam kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka.

Generasi pertama di kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar (mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah.Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 7, Dia lah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi’in.

Mereka itu terdiri daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat dengan mendalami ilmu agama dalam berbagai-bagai bidang, seperti akidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada vang sibuk dengan perkara-perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangai musuh-musuhnya. Ada yang sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), sorof, balaghah, sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting bagi mempelajari agama dengan bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraish kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti melafazkan bai‘ah iaitu ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulnya. Lafaz ikrar setia ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah ar-Rasyidin adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al- Hasyr, ayat 10,
Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Ampuni kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasad dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan maha penyayang.

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya, para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para tabi’in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-meleret.

Kesemua imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hanbal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Sejarah Kemunculan Mazhab Al-Asyairah

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam Abu Hasan al-Asy’ari.


Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy” ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Antara teori Abu Hasan al Asy'ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:

1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baru
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak
9. Mengetahui
lO.Hidup
11. Mendengar
12.Melihat
13.Berkata-kata

Beliau juga menghuraikan perkara taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukun-rukun iman. Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain.

Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah al-Asfaraini, al -Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang. Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’ irah.

Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakilani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak al-Asfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi. Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Diniati. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku AJ-Luma ‘ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bid ‘i beliau mendedahkan hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah.Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan al-Quran sebagai kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan perkara yang berhubung dengan Qadak dan Qadar dan lain-lain dan menjadi golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang sebenar.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
20 Oktober 2006