08 April 2011

Syahadah Dan Tuntutannya

Apabila seseorang telah bersyahadah maka dia dianggap Islam, tetapi Islamnya tidak sempurna melainkan dengan melaksanakan tuntutan Tauhid atau syahadah itu sendiri. Ia meliputi seluruh tuntutan Allah dan RasulNya yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Secara ringkas tuntutannya seperti berikut:

1. Beriman dengan perkara Ghaib. Perkara ghaib yang dimaksudkan ialah beriman dengan 6 Rukun Iman iaitu Beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat dan Qadha’ Qadar.

2. Menunaikan Rukun Islam. Diwajibkan menunaikan ibadah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah. Seseorang yang tidak menunaikan solat, berpuasa, berzakat dan haji bagi yang mampu, tidak boleh dianggap sebagai Muslim kerana Islam tidak memadai dengan hanya mengucap.

3. Amar Ma’ruf Nahi Mungkar. Sesiapa yang tidak mencegah sesuatu kemungkaran sedangkan dia berkuasa, maka dia bukanlah orang mu’min, lebih lagi orang yang menyokong dan meredhai kemungkaran yang berlaku di hadapan mata, mereka ini digelar Syaitan Bisu oleh Rasulullah. Orang yang bencikan kemungkaran tanpa mencegah adalah orang yang lemah Imannya.

4. Menghukum dengan hukum Allah dan mendirikan kerajaan Islam. Allah memerintahkan kepada umat Islam supaya berhukum dengan hukum Allah. Mereka yang enggan menghukum dengan hukum Allah bererti menolak Tauhid Uluhiyah iaitu perhambaan kepadaNya dan mereka menolak pengakuan mereka terhadap syahadah yang diikrarkan. Tuntukan melaksanakan hukum Allah tidak dapat dilaksanakan tanpa kerajaan Islam.

5. Mewujudkan masyarakat Islam. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang melaksanakan semua tuntutan dalam Aqidah, Syariat (Peraturan), Ibadah dan Akhlak. Masyarakat Islam tidak lahir kecuali lahirnya sekumpulan manusia yang menyembah Allah SWT dengan sempurna dan tidak menyembah yang lainnya serta tidak mematuhi undang-undang selain daripada undang-undang Allah. Kemudian cara hidupnya berlandaskan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis dan tidak mengikuti peraturan-peraturan ciptaan manusia.

Serahlah aqidah dan diri kamu kepada Allah. Sama ada penyerahan itu dilakukan atau tidak, kamu tetap akan datang berserah kepadaNya pada hari kiamat nanti.

Dipetik dari risalah Al Risaalah terbitan Balai Islam Al Muttaqin

No comments:

Post a Comment